RAMADHAN 1443H: MANIFESTASI KEJAYAAN SULONG KHATAM 30 JUZUK PELAJAR MAFIZ
1. Alhamdulillah ke hadrat Allah dirafa’kan kepada-Nya di atas kejayaan Maahad Tahfiz Daril Ulum melahirkan pelajar sulong khatam Al-Quran 30 juzuk. Tahniah dan syabas diucapkan kepada adik Nik Akmal bin Nik Azhairi. Lebih manis kejayaan ini dicapai pada bulan yang penuh kemuliaan iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak.
2. Pencapaian ini tidak mampu dicapai melainkan hasil usaha kuat daripada para asatizah serta pengurusan tertinggi MAFIZ. Tidak dilupakan kepada kedua ibu bapa yang saban waktu memberikan semangat agar terus istiqamah sehingga akhir. Syabas dan tahniah sekali kepada semua pihak yang terlibat.
3. Walaupun kita terpaksa berhadapan dengan suasana Covid-19 dan pembelajaran yang tidak menentu sama ada secara atas talian mahupun fizikal. Namun adik Nik Akmal mampu mengatasinya dengan memberikan 200 peratus fokus sehingga berjaya merealisasikan hafazan 30 juzuk.
4. Dalam Majlis Anugerah Sijil Hafazan Al-Quran yang dilangsungkan hari ini, dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YABrs Pengarah Yayasan Daril Ulum, beliau berbangga dengan kejayaan ini dan berharap momentum positif akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa. MAFIZ dapat keluarkan al-Hafiz yang berkualiti insya-Allah.
5. Majlis diserikan dengan amanat serta perasmian program yang disampaikan oleh YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Hj. Mohd Nassuruddin Bin Haji Daud. Beliau sangat berbangga dengan hasil usaha yang ditunjukkan semua pihak. Beliau berharap agar al-Hafiz keluaran MAFIZ mampu menjadi produk yang berkualiti untuk ummah serta seiring akhlaknya dengan al-Quran.
6. Majlis disusuli dengan bacaan al-Quran dialunkan oleh Adik Nik Akmal bermula surah al-Humazah sehingga surah al-Nas dan diakhiri dengan doa khatam al-Quran dipimpin oleh YB Dato’ Panglima Perang. Semoga doa yang sama-sama aminkan diberkati dan diperkenankan oleh-Nya.
7. Sebagai menghargai usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh Adik Nik Akmal, pihak MAFIZ menyampaikan cenderahati dan sijil Khatam al-Quran kepada beliau. Semoga terus kekal bersemangat secara tidak langsung memberikan dorongan kepada pelajar-pelajar lain untuk capai target khatam 30 Juzuk. Majlis bersambung dengan penyampaian Zakat Bank Islam dan Individu kepada semua pelajar. Terima kasih pihak Bank Islam atas sumbangan diberikan kepada pelajar.
8. Seusai program yang dijalankan di Masjid MAFIZ, majlis diteruskan lagi dengan Iftar Perdana yang diadakan di padang bola sepak MAFIZ. Iftar Perdana julung-julung kali ini mendapat sambutan meriah oleh masyarakat setempat dan keluarga pelajar MAFIZ. Suasana yang santai beralaskan tikar menghidupkan lagi ruh ukhuwwah keluarga besar MAFIZ. Semoga program seumpama ini dapat diadakan lagi insya-Allah.
9. Kami pihak MAFIZ mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program yang penuh bermakna ini. Ramadhan 1443H menjadi kenangan yang manis kepada kami di MAFIZ dan ia adalah manifestasi kejayaan sulong pelajar MAFIZ khatam 30 juzuk al-Quran. Alhamdulillah.
Sekian
Mudir
Maahad Tahfiz Daril Ulum